selamat datang bintang jatuh

selamat datang bintang jatuh

Monday, 30 April 2012

Bahasa Malaysia Sekolah Rendah




MATLAMAT

Matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi bagi memenuhi keperluan diri , memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.

OBJEKTIF MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU

Pada akhir pembelajaran murid dapat:
i. mendengar dengan teliti serta memahami pengucapan dalam konteks perbualan harian dan situasi formal;
ii. bertutur dengan petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul secara bertatasusila;
iii. berbincang dan berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara;
iv. membaca pelbagai bahan sastera dan bukan sastera yang berunsur ilmu;
v. menulis teks dengan menggunakan tulisan berangkai dengan kemas dan cantik;
vi. menghasilkan karangan dengan menggunakan tidak kurang daripada 60 perkataan;
vii. menggunakan bahasa baku yang meliputi tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan, dan sebutan yang betul;
viii. mengamalkan budaya membaca dalam kehidupan seharian

ORGANISASI KURIKULUM - Kandungan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu ini meliputi Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum. Semua perkara ini dinyatakan di bawah:

a. Kemahiran Bahasa - merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku meliputi:
  • Kemahiran Mendengar - merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami, dan menghayati perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas. 
  • Kemahiran Bertutur - merujuk kepada keupayaan murid berbicara secara lisan untuk menjalin hubungan, menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif, dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang betul. 
  • Kemahiran Membaca - merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu dan sastera secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan. Di samping itu, murid berupaya menghayati teks yang dibaca. 
  • Kemahiran Menulis - merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat, serta mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan ilmu dan imaginatif.
b. Hasil Pembelajaran - pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan hasil pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang set kemahiran yang perlu dicapai oleh murid. Hasil pembelajaran dibina dengan menyepadukan penggunaan bahasa, kemahiran bahasa, sistem bahasa, dan pengisian kurikulum. Oleh itu, murid perlu menguasai kemahiran berbahasa yang terdapat dalam setiap hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan berkesan. Pendekatan yang berfokus pada gaya pembelajaran yang pelbagai dapat membantu murid mencapai hasil pembelajaran. Selain itu, hasil pembelajaran juga membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian murid.

c. Sistem Bahasa - merujuk kepada bahasa Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, sistem ejaan, kosa kata, sebutan dan intonasi, dan peribahasa. Pelaksanaan sistem bahasa dalam pendidikan Bahasa Melayu membolehkan murid menggunakan dan mengamalkan bahasa Melayu baku.

d. Pengisian Kurikulum - Pengisian Kurikulum terdiri daripada elemen yang mencantumkan teras utama dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan perkembangan terkini dalam pendidikan, iaitu ilmu, nilai murni, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme dan pembelajaran
kontekstual. Semua elemen ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, pendidikan nilai murni, serta patriotisme dan kew arganegaraan diberikan penekanan selaras dengan matlamat negara membangunkan masyarakat madani.

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...